NASIONAL

Cuti 9 Mei: Pusingan pertama, rakyat menang

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 APR: Keputusan kerajaan mengisytiharkan 9 Mei sebagai hari kelepasan am tambahan, membuktikan kebangkitan rakyat di negara ini.

Ketetapan itu juga memberi kelebihan kepada rakyat yang bakal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) nanti kerana keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada hari bekerja.

Pengumuman dibuat kerajaan itu disifatkan Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin, sebagai kemenangan rakyat dalam menyuarakan hak mereka.

“Kemenangan pusingan pertama untuk rakyat. Alhamdulillah,” katanya di laman twitter, @shamsuliskandar

Dalam kenyataan hari ini, kerajaan mengisytiharkan 9 Mei sebagai hari kelepasan am tambahan bagi membolehkan rakyat Malaysia menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada hari berkenaan.

Tindakan itu mendatangkan hasil diingini, dipercayai daripada pengusaha petisyen yang berjaya menghimpun lebih 100,000 tandatangan di atas talian yang kemudian dihantar kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang Dipertua Agong, Sultan Muhammad V.

Individu yang mengusahakannya, Arveent Kathirtchelvan, menggunakan platfrom Change.org, dikatakan bermula sejak jam 4 petang, semalam.

Beliau juga menghantar e-mel sama kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Melayu, Setiausaha Sulit DYMM Yang Dipertuan Agong, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.


Pengarang :