BERITA UTAMASELANGOR

Dekati dan peduli rakyat konsisten sepanjang masa

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 14 APR: Komitmen turun padang yang ditunjukkan secara konsisten pentadbiran Selangor bukan hanya dilaksanakan ketika musim pilihan raya sahaja.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia dilaksanakan secara mingguan dan bukan hanya melibatkan pimpinan politik Pakatan di negeri itu.

Katanya, penglibatan sama turut ditunjukkan pimpinan Pegawai Tertinggi Kerajaan Selangor.

“Sudah menjadi amalan bila menjelang pilihan raya, kerap kali akan ada pertemuan antara pemimpin politik dan rakyat.

“Namun, ini bukan amalan lazim pentadbiran Kerajaan Selangor kerana pertemuan ini sudah banyak dibuat sebagai agenda mingguan kami sejak saya diberikan tugas sebagai Dato’ Menteri Besar.

“Setiap minggu, pegawai tinggi Kerajaan Selangor turun padang selaras prinsip kami untuk mendengar, menyelami serta menyantuni perasaan rakyat.

“Seterusnya program turun padang kami dilaksanakan bagi kami mendapatkan gambaran sebenar terhadap keperluan rakyat untuk menggubal dasar yang boleh memenuhi aspirasi rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Membangun Bangsa, Memakmur Negeri kepada penduduk Kampung Melayu Tambahan Ampang, pagi ini.

Dalam perkembangan itu, sekitar 50 penduduk setempat, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Persatuan Penduduk, Badan Pengerusan Bersama dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menerima sumbangan kewangan kemasyarakatan, wang sara diri, pendidikan dan keperluan pembiayaan pengurusan.

Mohamed Azmin berkata, bantuan sumbangan dizahirkan atas komitmen berterusan pimpinan negeri memastikan tanggungjawab berkebajikan rakyat berbilang kaum terus terjamin.

=EZY=


Pengarang :