SUKANKINI

Delle Alli akhiri badi 28 tahun Spurs

OLEH AFIX REDZUAN

LONDON, 2 APR: Dua jaringan Delle Alli, pada babak kedua membantu Tottenham Hotspur bangkit menewaskan Chelsea, di Stamford Bridge dalam ‘London Derby’, Liga Perdana Inggeris, semalam.

Bagaimanapun, Chelsea bermula garang, pada minit ke-18 menerusi Marcos Alonso tetapi jaringannya dibatalkan kerana ‘offside’.

Chelsea akhirnya berjaya di hadapan, 1-0 pada minit ke-30 menerusi penyudah Alvaro Morata yang berjaya menanduk hantaran lintang Victor Moses.

Spurs kembali bangkit mencari gol penyamaan dan usaha itu akhirnya berhasil, pada penghujung babak pertama menerusi rembatan jarak jauh Christian Eriksen yang berjaya menewaskan Wilfredo Caballero.

Masuk kedua, Spurs meneruskam tekanan kepada Chelsea dan akhirnya berjaya di hadapan, 1-2 hasil jaringan Alli.

Beliau yang berjaya melepasi perangkap ‘offside’ mudah menyambut hantaran jauh Eric Dier sebelum menolak bola ke gawang Chelsea, pada minit ke-61.

Belum sempat Chelsea memperkemas permainan, Alli sekali lagi merobek gawang tuan rumah bagi gol ketiga Spurs, empat minit kemudian.

Beliau berjaya memanfaatkan situasi kelam kabut di hadapan gawang The Blues sebelum melepaskan rembatan rendah bagi keputusan 1-3 dan ia kekal sehingga tamat permainan.

Ini adalah kemenangan pertama Spurs ke atas Chelsea di gelanggang lawan selepas 28 tahun.

Spurs di tangga keempat dengan 64 mata selepas 31 perlawanan sementara Chelsea, kelima dengan 56 mata.

Kredit Foto: AFP


Pengarang :