SELANGOR

Dewan Komuniti Damansara Damai lestari alam

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 26 APR: Hasrat penduduk sekitar Damansara Damai memiliki dewan komuniti akhirnya direalisasikan selepas Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membina sebuah Dewan Komuniti di PJU 10/1, Damansara Damai.

Datuk Bandarnya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata, dewan komuniti dibina diatas tapak berkeluasan 1.16 ekar itu membabitkan kos pembinaan RM 3.8 Juta.

Katanya, dewan itu dibina struktur bangunan yang mampu melestarikan alam sekitar, mengaplikasikan kecekapan penjimatan tenaga dan memenuhi matlamat menyediakan persekitaran gaya hidup urban yang sihat serta berkualiti.

“Reka bentuk dewan komuniti itu juga menerapkan ciri-ciri senibina reka moden tropikal masa kini yang mengambilkira elemen ‘louvers’ pada tampak bangunan memberi perlindungan cahaya matahari serta membenarkan aliran udara masuk ke dalam bangunan bagi kesan penyejukkan bangunan.

“Ia juga mempunyai kemudahan orang kurang upaya (OKU), elemen vernakular dengan memberikan identiti senibina tempatan, mengekalkan karekteristik alam semulajadi ‘blend with nature’ serta daya tahan ‘durability’,” katanya pada majlis perasmian dewan itu, di sini.

Mohd Azizi berkata, spesifikasi komponen reka bentuk dewan itu disusun mengikut kesesuaian dan keutamaan dalam penggunaan ruang merangkumi program seperti majlis perkahwinan, aktiviti sukan badminton, riadah, program komuniti serta program sosial lain.

Katanya, manakala dari aspek kemudahan asas pula, dewan komuniti ini dilengkapi dengan pejabat, parkir (84 unit petak letak kereta dan 2 unit petak untuk OKU), tandas, surau dan menitikberatkan reka bentuk hijau selain mesra OKU.

“Selain itu, dewan itu turut dilengkapi Sistem Pengumpulan Air Hujan (SPAH),” katanya.


Pengarang :