BERITA UTAMANASIONAL

Dewan Rakyat lulus RUU Anti Berita Tidak Benar 2018

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 2 APR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Berita Tidak Benar 2018 menerusi undian belah bahagi, 123 menyokong dan 64 menolak.

Keputusan undian memihak kepada pihak menyokong dengan kelebihan 59 undi diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menyaksikan ia diluluskan.

Selain Ahli Parlimennya, kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) turut mendapat sokongan 11 Ahli Parlimen PAS yang hadir termasuk wakil Bebas, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Manakala kumpulan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PAKATAN) termasuk wakil Parti Sosialis Malaysia, Dr D Michael Jeyakumar, mengundi tidak menyokong.

Ketika sesi perbahasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said mendakwa, kerajaan tidak mempunyai kuasa bagi menentukan sebarang tindakan akan dikenakan kepada pihak disabitkan kesalahan dalam RUU berkaitan.

Katanya, segala tindakan diambil akan ditetapkan mahkamah.

PAKATAN mendakwa RUU diperkenalkan kerajaan Umno-BN itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dalam usaha menghalang pihak pembangkang mendedahkan salah laku dan penyelewengan dilakukan kerajaan.


Pengarang :