NASIONAL

Dr Wan Azizah bersaing 4 calon lain di Parlimen Pandan

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 28 APR: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersaing dengan empat calon lain di Parlimen Pandan (P100) pada Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14), 9 Mei ini.

Selain Dr Wan Azizah, Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Ketua MCA Pandan, Datuk Leong Kok Wee sementara PAS meletakkan Ketua Penerangan Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar.

Calon lain adalah Parti Rakyat Malaysia (PRM) diwakili Jenice Lee dan calon bebas, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah (N21), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima tiga pencalonan.

Pertandingan tiga penjuru itu mempertemukan Izhar Hashim daripada Parti Amanah mewakili PAKATAN bakal berentap dengan Dato’ Iskandar Abdul Samad (PAS) dan Datuk Mohd Haniff Koslan (BN).

Sementara itu DUN Teratai, N22 menyaksikan pertembungan dengan empat penjuru.

Calon PAKATAN daripada DAP diwakili Lai Wai Chong manakala Jenice Lee mewakili PRM sementara Liew Pok Boon mewakili BN dan Mohd Irman Abdul Wahab daripada PAS.

Proses penamaan calon Parlimen Pandan, DUN Teratai dan DUN Pandan Indah bermula jam 9 pagi, dan serahan borang ditutup sepenuhnya pada jam 10 pagi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya P100, Hasrolnizam Shaari mengumumkan nama-nama calon pada jam kira-kira 11 pagi di Dewan Perbandaran Ampang Jaya di sini.

“Setelah selesai membuat semakan, kami berpuas hati dan tiada calon yang namanya ditolak.

“Hari mengundi awal ialah pada 5 Mei 2018 dan hari mengundi jatuh pada 9 Mei 2018, orang ramai boleh melihat pada Borang 8 untuk pusat mengundi,” katanya.

=EZY=


Pengarang :