NASIONAL

Drama pendek ‘Atuk dah tua’ buat netizen terharu

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 30 APR: Drama pendek menampilkan bekas Perdana Menteri , Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya meruntun hati ramai rakyat Malaysia.

Video berdurasi 10.25 minit itu dikongsi hampir 20,000 pengguna facebook dalam tempoh dua hari ia dimuatnaik melalui akaun facebook peribadi ‘Dr. Mahathir bin Mohamad’.

Melalui drama pendek itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia sekitar tujuh tahun bertemu Tun Mahathir di sebuah galeri di Putrajaya.

Drama yang mendapat lebih 28,000 kesukaan itu berjaya meruntun hati penonton gara-gara Tun Mahathir menitiskan air mata ketika ditanya kenapa masih bekerja walaupun sudah berusia.

“Atuk perlu bekerja kerana perlu buat pemulihan negara, disebabkan mungkin oleh kesalahan atuk dulu dan keadaan yang berlaku sekarang ini.

“Merdeka bermakna kita bebas, kita tidak dijajah oleh orang, dan kita dapat tadbirkan negara kita sendiri, dan kita akan membangunkan negara kita, supaya rakyat akan hidup lebih baik, dapat bekerja, dapat pendapatan, dan hidup lebih sempurna,” kata Tun Mahathir.

Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) itu kemudiannya mengalirkan air mata ketika ditanya apa harapannya pada Malaysia.

“Kalau Malaysia ini ditadbir oleh kerajaan yang baik, kita akan dapat banyak nikmat, atuk dah tua, sudah 90 lebih jadi masa tak banyak, tapi setakat yang boleh, atuk akan berusaha untuk pulih negara kita,” katanya.

Salah seorang pengguna facebook ‘Joe Bravo’ melalui komennya di video berkenaan berkata, beliau membesar di zaman Tun Mahathir dan berterima kasih terhadap pentadbiran cemerlang bekas PM itu.

“Saya membesar di zaman Tun dan terima kasih Tun kerana bangunkan Malaysia ini dari sektor pertanian kepada negara industri dan teknologi, saya akan terjemahkan rasa sayang ini melalui kertas undi,” katanya.

Sementara itu Chong KL berkata, sikap Tun Mahathir yang mengakui pernah melakukan kesalahan harus dipuji.

“Dia pernah buat salah dan bangkit semula untuk pulihkan Malaysia, yang dengki dan busuk hati dengan Tun, biarlah, yang akan hidup susah anda dan generasi anda,” katanya.


Pengarang :