ALAM SEKITAR & CUACANASIONAL

Dua rumah terjejas akibat tanah runtuh

 

OLEH SABIRAH AZIZ

KUALA LUMPUR, 12 APR: Dua rumah penduduk di Jalan 5/60A, Taman Desa Segambut Tengah, terjejas ekoran kejadian tanah runtuh yang berlaku selepas hujan lebat, pada 9 April lalu.

Penduduk, Salina Sadeli,33, berkata kejadian itu menyebabkan cerun di belakang rumah kediaman mereka runtuh dan menjejaskan sistem perparitan.

“Sebelum ini tiada masalah berlaku, namun selepas penduduk yang menetap di bawah kediaman kami membuat pengubahsuaian pada rumahnya, maka ia mengakibatkan struktur tanah sudah tidak kuat apabila hujan lebat. Ia menyebabkan berlakunya hakisan dan tanah runtuh.

“Kami sekeluarga terdedah kepada bahaya kerana hakisan mula memberi kesan kepada struktur tanah, di bahagian belakang rumah,” katanya yang tinggal di rumah itu bersama empat lagi ahli keluarga.

Katanya, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang datang ke lokasi selepas kejadian itu menjelaskan bahagian belakang rumahnya sudah tidak selamat dan menyarankan supaya mereka menggunakan bahagian ruang hadapan sahaja.

Seorang lagi penduduk, P Sankaran, 50, mula risau dengan keselamatan ahli keluarganya susulan daripada kejadian berkenaan.

“DBKL sudah menutup cerun runtuh itu dengan menggunakan plastik bagi menggelakkan sebarang kejadian tidak dingini.

“Pihak yang membuat pengubahsuaian di bahagian bawah rumah kami menyebabkan struktur tanah tidak kuat dan ini mengakibatkan tanah runtuh berlaku, jika hujan,” katanya memetik Sinar Harian.

Sementara itu, calon Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, pihaknya akan memanjangkan permasalahan itu kepada DBKL, Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) dan Pejabat Tanah Wilayah Persekutuan supaya tindakan sewajarnya diambil.

Hannah berkata, pihaknya juga akan mendapatkan maklumat lanjut punca sebenar berlakunya hakisan dan tanah runtuh.

“Pada masa sama, DBKL perlu mengkaji sama ada rumah itu masih selamat untuk diduduki atau tidak,” katanya.


Pengarang :