SELANGOR

Dulu BN kutuk, sekarang diam-diam tiru program IPR

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK, 26 APR: KEADILAN secara sinis membidas Barisan Nasional (BN) yang kini dilihat meniru beberapa program membantu rakyat seperti yang dilakukan di Selangor.

Penyandang Kerusi N16 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, Amirudin Shari berkata, sedangkan dahulu BN mendakwa Selangor bakal muflis dengan hanya melaksanakan program 20m3 air percuma.

Katanya, disebalik kritikan, BN turut meniru program diilhamkan Kerajaan Selangor seperti pemberian bas percuma dan air percuma di beberapa negeri ditadbir mereka.

“Tiada negeri yang mampu melawan rekod kita. Disamping kita pacu dan jana kemajuan, Selangor masih menjadi penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Kalau dulu Barisan Nasional (BN) kata populis, cuma nak menang pilihan raya tetapi selepas 10 tahun ditadbir dengan cermat, Kerajaan bersih, pemimpin amanah hingga rizab dari RM400 juta menjadi RM4 bilion,” katanya pada program Pelancaran Relawan Gombak Kita Setia, semalam.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri sudah membelanjakan hampir RM3 bilion buat rakyat menerusi program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Katanya, modul pentadbiran ditonjolkan Selangor sejak 10 tahun lalu merupakan contoh terbaik untuk Pakatan Harapan (PAKATAN) ke Putrajaya bagi mentadbir negara selain menyeru rakyat terus memberikan sokongan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


Pengarang :