SELANGOR

DUN Sungai Kandis: 4 penjuru bukan penghalang kemenangan PAKATAN

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 28 APR: Calon bagi DUN N 49 Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei menyifatkan pertembungan empat penjuru di dun terbabit bukan penghalang untuk beliau menang pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

Beliau berkata persaingan sengit itu bagi merebut kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu iaitu sebanyak 71 peratus.

“Di DUN Sungai Kandis menyaksikan peratusan undi Melayu sebanyak 71 peratus, manakala India 15.62 peratus dan Cina 11.67 peratus.

“Saya berharap pertembungan kali ini dapat dijayakan atas semangat demokrasi yang sebenarnya,” katanya kepada SelangorKini.

Shuhaimi yang merupakan Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berharap rakyat boleh memilih pemimpin yang boleh mengangkat dan membela masyarakat setempat secara berterus.

“Saya yakin dengan pengalaman 10 tahun sebagai Ahli Dewan Negeri Seri Muda, banyak yang dibangunkan dan diselesaikan di kawasan sekitar, sebagai contoh pekan Kota Kemuning yang dulunya merupakan pekan mati,” katanya.

Beliau turut mahu penyokong atau calon tidak membuat provokasi berlebihan sepanjang kempen berlangsung.

Terdahulu, DUN Sungai Kandis bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN); Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), PAS dan BEBAS.

Pada penamaan calon Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), calon KEADILAN, Mat Shuhaimi Shafiei akan dicabar oleh Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Kamaruzzaman Johari; Mohd Yusof Abdullah (PAS) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin.

=EZY=

 


Pengarang :