Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan melantik empat pesuruhjaya baru.
NASIONAL

EAIC siasat berasingan kes tahanan mati

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 2 APR: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menjalankan siasatan secara berasingan berhubung kes seorang tahanan mati dalam lokap, di Balai Polis Selama, Perak, pada 17 Mac lalu.

Pengerusinya, Datuk A Aziz A Rahim berkata, pihaknya dalam proses melengkapkan siasatan dan ia akan diumumkan selepas segalanya selesai.

“EAIC menjalankan siasatan secara berasingan berhubung kes ini dan bukan seperti dinyatakan Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Loo Lian Lay kepada media.

“Jika terdapat syor berkaitan, ia akan dipanjangkan kepada pihak berkuasa tata tertib, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Polis Diraja Malaysia untuk penambahbaikan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Lian Lay disiarkan media, pada 25 Mac lalu.

Katanya, EAIC ingin menegaskan setiap siasatan dijalankan suruhanjaya itu bebas, telus dan profesional berdasarkan kuasa penyiasatan diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

“EAIC sentiasa menjaga tahap kebebasan dan ketelusan dalam membuat siasatan khususnya dalam menyiasat sesebuah agensi di bawah pengawasannya,” katanya.


Pengarang :