BERITA UTAMASELANGOR

Elak disabotaj, MB arahkan pemantauan sumber air dipertingkatkan

OLEH NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 14 APR: Kerajaan Negeri mengarahkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) meningkatkan pemantauan 24 jam di setiap loji dan sungai.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu bagi mengelakkan berlaku gangguan bekalan air yang membebankan rakyat.

Katanya, usaha berperingkat itu dilaksanakan sejak beberapa bulan lalu termasuk mencegah perbuatan khianat.

“Ini sebagai persiapan sekiranya ada pihak mahu mensabotaj perkhidmatan air di Selangor.

“Kita tidak mahu rakyat terbeban dengan perkara yang tidak baik berlaku.

“Justeru, kita mengarahkan PBT dan LUAS meningkatkan pemantauan di loji-loji dan sungai-sungai utama,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas program dialog bersama penduduk di Madrasah Al-Ittihad Jalan Nilam 1, Taman Setia Gombak, di sini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan tegas kepada pihak yang menceroboh dan melakukan perbuatan khianat demi kepentingan pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita tidak mahu mereka mensabotaj dan mencemarkan sungai-sungai kita dengan bahan-bahan kimia terlarang atau sebagainya,” katanya.

=EZY=


Pengarang :