NASIONAL

Empat calon AMK bertanding PRU14

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 APR: KEADILAN mengumumkan empat barisan calon Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang akan bertanding, pada Pilihan Raya Umum ke-14, tidak lama lagi.

Antara calon yang akan bertanding ialah Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang memenangi kerusi negeri selama dua penggal, pada 2008 dan 2013.

Selain itu, Naib Ketua AMK, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil yang juga Pengarah Komunikasi KEADILAN.

Turut tersenarai, Naib Ketua AMK Perak, Sandrrea Ng Shy Ching yang juga merupakan setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye.

Manakala, calon AMK dari Sabah diwakili Naib Ketua AMK Pusat merangkap Ketua AMK Sabah, Raymond Ahuar.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan kawasan yang akan diwakili mereka.

Pengumuman berkenaan dibuat Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di Pusat Khidmat Rakyat KEADILAN di Setiawangsa, semalam.

Wan Azizah berkata, pengumuman terbabit membuktikan KEADILAN mempunyai kepimpinan pelapis, sekali gus menyangkal tuduhan mengatakan mereka hanya ada pemimpin tua.

Katanya, pengenalan barisan calon itu adalah fasa pertama dan akan ada lagi pengumuman dibuat secara berperingkat.

“Memang kita ada tetapkan kawasan, namun kita belum buat keputusan akhir, ada sikit lagi. Kita rasa belum lagi masanya untuk umumkan,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, kawasan bagi calon yang bertanding akan didedahkan selepas pembubaran Parlimen iaitu membabitkan seluruh Malaysia.

Terdahulu, Nurul Izzah menyempurnakan pelancaran lagu dan klip video kempen oleh AMK Pusat.


Pengarang :