SELANGOR

Episod akhir drama IPR Holding satukan hubungan

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 12 APR: Drama pendek bertajuk IPR Holding, terbitan TV Selangor (TVS) yang mula ditayangkan sejak Februari lalu kini sudah sampai ke episod akhir, petang ini.

Dibintangi oleh Erry Putra, Faralyna Idris, Ariz Lufiaz dan Nor Albaniah, ia mengisahkan Erry Putra sebagai Iskandar, yang pulang ke Selangor dengan membawa kejayaan kepada keluarganya selepas menetap selama 20 tahun di Melbourne, Australia.

Ketua Jabatan TVS, Lt Kdr (B) Rosdi Mohamad berkata, episod akhir itu berkisar kisah cinta Iskandar yang terhalang oleh bapa Suraya, Pak Johan, kerana pinangannya pernah ditolak.

“Bagaimanapun, apabila Iskandar pulang ke Selangor, Pak Johan menerima pinangan Iskandar semula walaupun Suraya sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dan mempunyai dua anak, namun bergelar ibu tunggal kerana suaminya terbabit dalam kemalangan jalan raya.

“Pinangannya ditolak kerana Iskandar tidak berjaya dalam kehidupannya sebelum ini lalu membawa diri ke luar negara untuk mencipta kejayaan. Dalam tempoh 20 tahun itu, beliau melebarkan empayarnya yang diberi nama IPR Holding iaitu gabungan nama Iskandar dan dua adiknya (Puteri Paulina dan Rykal).

“Melalui pelebaran empayar itu, Iskandar berjaya membantu seluruh ahli keluarganya. Manakala, ibunya pula mengusahakan perniagaan kerana menerima bantuan daripada Skim Hijrah Selangor (HIJRAH).

“Setiap episod yang dipaparkan ini berkait rapat dengan bantuan Inisiatif Peduli Rakyat yang diberikan Selangor kepada rakyatnya,” katanya.

Drama berdurasi lima minit itu mempunyai 10 episod yang memaparkan kisah sebuah keluarga di Selangor mengharungi liku-liku kehidupan.

Ia bersiaran setiap hari Khamis, pada jam 3 petang, di TVS.


Pengarang :