SUKANKINI

EPL: Kejuaraan sah milik Mahchester City

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 16 APR: Manchester City dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris 2017/18 susulan kekalahan 0-1 Manchester United kepada West Bromwich Albion awal pagi tadi.

Jaringan tunggal Jay Rodriguez pada minit ke-73 sudah cukup untuk meranapkan harapan United mengejar City dengan baki lima lagi perlawanan.

Kemenangan cukup penting West Brom yang berusaha untuk keluar daripada zon penyingkiran walaupun peluang itu dilihat tipis.

United kekal di tangga kedua dengan 71 mata, satu mata mengatasi Liverpool di tangga ketiga dan berkelebihan satu perlawanan.

City yang berjaya menewaskan Tottenham Hotspur 1-3 semalam kini mengumpul 87 mata selepas 33 perlawanan sekaligus menjadikan kejuaraan ketiga peribadi Pep Guardiola dalam tiga liga berbeza.

Beliau sebelum ini pernah menjulang kejuaraan La Liga bersama Barcelona dan Bundesliga bersama Bayern Munich.

Sementara itu, Newcastle United bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Arsenal 2-1 di St James Park semalam.

Alexandre Lacazette membuka jaringan buat Arsenal 0-1 pada minit ke-14 selepas menampan umpanan Pierre-Emerick Aubameyang.

Gol pendahuluan itu tidak bertahan lama apabila Ayoze Perez menyamakan kedudukan 1-1 buat tuan rumah selepas menampan kemas hantaran DeAndre Yedlin pada minit ke-29.

 

Bersambung babak kedua, Newcastle menggandakan serangan dan hasilnya Matt Ritchie menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-68.

Bermula daripada umpanan Perez, Ritchie yang tidak dikawal tenang melepaskan rembatan rendah melangkaui jangkaan penjaga gol Arsenal, Petr Cech.

Tuan rumah berpeluang menggadakan jaringan tetapi ia gagal disudahkan dan keputusan 2-1 kekal memihak Newcastle sehingga tamat perlawanan.

 

Kredit Foto: theguardian.com


Pengarang :