SUKANKINI

ESM anjur kejohanan jejak ‘kaki game’ wakili negara

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 16 APR: Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) akan menganjurkan National Esports Team Selection 2018 bagi mengenal pasti atlet berpotensi mewakili negara ke pertandingan antarabangsa.

Dalam kenyataannya, ESM menyatakan kejohanan itu dijangka disertai 15,000 atlet sukan elektronik dari seluruh negara dengan juara akan menggalas tanggungjawab mewakili negara dalam tiga perisian iaitu DOTA 2, FIFA 18 dan Countersatrike (Global Offensive).

“Ia akan dipertandingkan melalui pemilihan di 14 negeri, 30 kelab sukan elektronik kolej serta universiti di seluruh negara dan enam zon.

“Pemilihan bermula dari Julai hingga September ini sebelum peringkat akhirnya diadakan di Ipoh, Perak sempena Sukan Malaysia (SUKMA),” katanya.

Katanya, juara akan mewakili Malaysia secara rasmi ke pertandingan antarabangsa dan menyertai program pembangunan atlet sukan elektronik selama setahun bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan ESM.

Terdahulu, majlis pelancaran National Esports Team Selection 2018 dihadiri Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail di Orange eSports Stadium, Setapak, 14 April lalu.

Dalam pada itu, ESM telah menganjurkan China Esports Games 2018 Malaysia Qualifier bagi memilih atlet sukan elektronik mewakili Malaysia di Tai Cang, Jiangsu, China pada 29 April hingga 1 Mei ini.


Pengarang :