ALAM SEKITAR & CUACA

ExxonMobil-MPMA sokong jaya teknologi hijau

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 11 APR: ExxonMobil Subsidiaries (ExxonMobil) menyokong usaha kerajaan menjayakan teknologi hijau dan menangani pengurusan sisa pepejal lebih berkesan.

Pengurus Besar Hal Ehwal Awamnya, Sukiman Mohamed berkata, pihaknya memuji usaha dijalankan dan generasi muda perlu diberi pendedahan menjayakannya.

“Amat penting bagi kita membina amalan baik terhadap alam sekitar dari usia muda untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

“Dengan memberikan maklumat dan kemudahan kepada pelajar akan membantu mereka berfikir lebih inovatif dan ExxonMobil meletakkan penekanan terhadap risiko alam sekitar untuk memperbaiki serta pemuliharaan biodiversiti dan ekosistem di kawasan operasi,” katanya.

ExxonMobil menjalin kerjasama bersama Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) mengadakan Kem Cabaran Inovasi Eco-Park 2018 di sini, awal April lalu.

Kem terbabit dijalankan dalam usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai pentingnya pengurusan sisa baik dan amalan 3R (Reduce, Reuse dan Recycle).

Presiden MPMA, Datuk Lim Kok Boon berkata, pihaknya juga sentiasa memberi tumpuan kepada isu berkaitan melalui program pendidikan dan kesedaran kepada keperluan mengamalkan 3R dalam usaha memelihara alam sekitar.

“Biarpun produk plastik berfungsi membantu pengguna dalam pelbagai cara, adalah penting untuk mengetahui bahawa apa-apa bahan termasuk sepertinya boleh menimbulkan masalah kepada alam sekeliling.

“Dengan itu, kita perlu berusaha memberi kesedaran kepada umum demi kebaikan bersama dan memupuk minat bagi mengekalkan kehijauan alam sekitar,” katanya.

Kem Cabaran Inovasi Eco-Park 2018 disertai 17 sekolah dan institut pengajian, dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Buloh membolot hadiah RM1,800.

Hadir sama, Penolong Pengarah Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Nazihah Jaafar.


Pengarang :