SUKANKINI

Gaji Lionel Messi RM119,073 seminit, pendapatan RM600 juta

PARIS 24 APR: Lionel Messi mengatasi Cristiano Ronaldo sebagai penerima pendapatan tertinggi dalam bola sepak dunia, manakala Jose Mourinho mengungguli carta pengurus, demikian menurut majalah France Football.

Penyerang kelab Barcelona itu berada jauh di hadapan pada musim ini dengan pendapatan €126 juta (RM600 juta) termasuk gaji, bonus dan perolehan iklan, manakala pesaingnya daripada kelab Real Madrid menjana pendapatan €94 juta (RM447.7 juta).

Pada musim lalu, Ronaldo mendahului dengan pendapatan €87.5 juta(RM416.7 juta) diikuti €76.9 juta (RM366.2 juta) yang diterima Messi.

Berdasarkan angka terbaharu itu, Messi menerima bayaran €25,000 (RM119,073) seminit ketika beraksi untuk La Liga, Liga Juara-Juara, Piala Raja Sepanyol, Piala Kelab Dunia dan empat kali penampilan antarabangsa untuk Argentina sepanjang musim ini, dengan tanggapan dia akan bermain dalam semua baki lima perlawanan Barcelona nanti.

Dua pemain itu diikuti bintang Paris Saint-Germain, Neymar di tempat ketiga dengan pendapatan €81.5 juta (RM389.6 juta). Perangkaan itu akan di­siarkan oleh France Football hari ini dan diserahkan kepada agensi berita AFP semalam.

Dalam kalangan jurulatih pula, Mourinho yang menguruskan kelab Manchester United kekal nombor satu dengan gaji €26 juta (RM124.3 juta).

Pengurus pasukan bola se­pak China, Marcello Lippi berada di tangga kedua de­ngan gaji €23 juta (RM109.9 juta), diikuti pengurus kelab Atletico Madrid, Diego Simeone di tempat ketiga.

SUMBER: AFP
FOTO SUMBER: GiveMeSport


Pengarang :