BERITA UTAMASELANGORSUKANKINI

Gavin Kyle dan Siti Safiyah dinobat Olahragawan, Olahragawati Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 APR: Gavin Kyle Green dari sukan Golf dan atlet Tenpin-Boling, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman masing-masing dinobatkan selaku Olahragawan dan Olahragawati Anugerah Sukan Negeri Selangor (ASNS) 2017.

Gavin mengatasi saingan daripada dua lagi finalis, Muhammad Fadhil Mohd Zonis dari acara Berbasikal-Trek dan Chew Yiwei, sukan Akuatik-Terjun.

Beliau yang membawa pulang sebuah trofi dan insentif RM10,000 bagaimanapun diwakili bapa saudara, Nigel Green kerana kini sedang beraksi di Kejohanan Golf European Tour Trophee Hassan II di Royal Dar Es Salam, Rabat, Maghribi.

Siti Safiyyah mengungguli kategori wanita mengatasi pemenang Anugerah Olahragawati bagi dua edisi, 2014 dan 2015/16, Syakilla Salni Jefry Krisnan dari sukan Karate-Do – Kumite serta atlet Gimnastik Artistik, Farah Ann Abdul Hadi.

Beliau menerima trofi dan insentif RM10,000 yang disampaikan oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah serta dipakaikan dengan blazer biru Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN) selaku Olahragawati 2017.

Atlet Akuatik-Renang, Ng Jing Fu dan Angelima Chan masing-masing dinobatkan selaku Olahragawan dan Olahragawati Harapan yang menyaksikan mereka membawa pulang trofi serta sijil simpanan premium bernilai RM5,000 setiap seorang.

Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan diberikan kepada Pengerusi Majlis Sukan Daerah Sepang, Dato’ Puasa Mad Taib manakala Prem Kumar Subanna dari sukan Karate-Do dipilih selaku penerima Anugerah Jurulatih Terbaik 2017.

Kedua-dua pemenang membawa pulang trofi berserta insentif bernilai RM5,000.

Pasukan Perahu Layar Acara International 470 menerima Anugerah Pasukan Terbaik sementara Kumpulan Perangsang Selangor Berhad dipilih sebagai penerima Anugerah Juri.

Tengku Amir Shah berkenan untuk menyampaikan hadiah kepada semua pemenang bersempena dengan Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor 2017 yang berlangsung di Hotel Concorde, Shah Alam, semalam.

Seramai 80 Olahragawan dan Olahragawati telah dianugerahkan sepanjang ASNS yang mula diadakan sejak 1975 hingga 2016.

Seramai 28 atlet Selangor mengambil bahagian dalam 13 jenis acara sukan di Gold Coast yang berakhir minggu lalu.

Olahragawan : Gavin Kyle Green (Golf)

Olahragawati : Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (Tenpin Bowling)

Olahragawan Harapan : Ng Jing Fu (Akuatik – Renang)

Olahragawati Harapan : Angelina Chan (Akuatik – Renang)

Tokoh Kepimpinan Sukan : Pengerusi Majlis Sukan Daerah Sepang, Datuk Puasa Md Taib

Pasukan Terbaik : Perahu Layar Acara International 470

Jurulatih Terbaik : S Prem Kumar (Karate-Do)

 


Pengarang :