SELANGOR

Gendang PRU dipalu, ini kalilah undi PAKATAN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 APR: Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menjadi detik terpenting kepada masyarakat Malaysia untuk melakukan perubahan dengan memilih komponen Pakatan menerajui pentadbiran Putrajaya.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor, Ng Suee Lim berkata, rakyat Malaysia harus merujuk kejayaan Kerajaan Pakatan yang berjaya mengurus tadbir Selangor dengan baik dan berjaya.

Beliau berkata, kejayaan itu menjadi penanda aras terbaik Pakatan mampu mengurus Kerajaan Persekutuan, di Putrajaya.

“Kejayaan Selangor harus dijadikan pengukur dan petunjuk bahawa kejayaan pentadbiran Selangor adalah cerminan kepada wajah Malaysia yang lebih baik.

“Justeru, rakyat harus bijak memilih Pakatan demi mempertahankan kemajuan Selangor yang lebih makmur dan adil.

“Tidak dilupa, rakyat perlu memilih Pakatan untuk menerajui kepimpinan Putrajaya dan menewaskan kerajaan kleptokrat Umno Barisan Nasional,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran Parlimen berkuatkuasa 7 April ini.

Pembubaran dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Perkenan itu juga bakal memberi laluan kepada PRU14.


Pengarang :