KENYATAAN MEDIANASIONAL

Ghairah berpada-pada, hormati undang-undang keselamatan

OLEH DR MUZAFFAR SYAH MALLOW

Dalam keghairahan hadapi Pilihanraya Umum Kali Ke -14 (PRU14), semua pihak harus memastikan aspek keselamatan sentiasa dihormati dan dipatuhi pada setiap masa di mana-mana sahaja.

Khususnya mereka yang paling aktif terlibat dalam proses PRU seperti penyelia kempen dan gerak kerja, para pekerja dan petugas PRU, para wartawan yang membuat liputan, dan lain-lain lagi.

Terbaru, kita didedahkan dengan insiden empat orang tercedera ketika memasang bendera parti politik berhampiran dengan talian elektrik bervoltan tinggi di Kampung Parit
Yusof, Muar, Johor.

Dalam kejadian dipercayai jam 1.30 pagi itu, kumpulan lelaki terbabit dikatakan cuba memacak tiang buluh untuk dipasang dengan bendera parti politik.

Difahamkan, empat mangsa berusia 20-an hingga 40-an terbabit dipercayai sedang mengangkat tiang buluh berkenaan sebelum secara tiba-tiba berlaku renjatan kilat
hingga menyebabkan mereka terpelanting.

Kejadian itu menyebabkan seorang lelaki dilaporkan parah apabila patah tulang rusuk, manakala tiga lagi cedera ringan.

Insiden ini jelas menunjukkan kepada kita aspek keselamatan masih dipandang ringan oleh rakyat dalam negara kita.

Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku dalam negara kita yang memiliki pelbagai jenis peraturan, garis panduan, serta prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan dengan aspek keselamatan ketika ingin melakukan sesuatu jenis pekerjaan.

Dalam perkara ini, majikkan khususnya perlu memainkan peranan dengan lebih aktif lagi dalam memastikan keselamatan pekerja sentiasa kekal terpelihara.

Majikan perlu memberi segala ilmu mengenai aspek keselamatan yang perlu dipatuhi pekerja mereka dalam menjalankan tugas.

Majikan tidak boleh cuai atau lepas tangan di dalam perkara ini.

Perkara ini juga jelas termaktub dibawah Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 (Akta 514) yang dikuatkuasakan sejak 1994
lagi.

Akta 514 banyak memberi fokus ke arah pembentukan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam negara kita buat sekian lama.

Seksyen 15 (1) & (2) akta terbabit telah jelas memperuntukkan kewajipan kepada setiap majikan serta setiap orang yang bekerja sendiri untuk memastikan setakat
yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya.

Kewajipan lain yang diperuntukkan melalui akta terbabit juga ialah dengan memastikan pihak majikan dan orang yang bekerja sendiri menyediakan satu polisi keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja mereka serta memastikan orang lain selain daripada pekerja mereka tidak terdedah kepada bahaya yang dihasilkan daripada aktiviti yang dijalankan di tempat kerja mereka.

Semua ini jelas termaktub dibawah Seksyen 16, 17 & 18 Akta 514 terbabit.

Kegagalan mematuhi mana-mana peruntukan ini boleh menyebabkan majikan berkenaan dikenakan denda RM50,000 atau 2 tahun penjara ataupun kedua-duanya seperti yang diperuntukkan dibawah Seksyen 19 akta terbabit.

Selain majikan, Akta 514 melalui Seksyen 24 juga memperuntukkan perkara atau tanggungjawab sama yang perlu diambil pekerja dalam menjaga aspek keselamatan di tempat kerja.

Sekiranya pekerja terbabit gagal memathui peraturan keselamatan yang ditetapkan, tindakkan undang-undang boleh juga diambil terhadap mereka.

Jika disabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda RM1,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

Oleh yang demikian, perkara yang melibatkan aspek keselamatan di tempat kerja dan di mana – mana pun tidak boleh dipandang ringan semua pihak.

Ia hendaklah diberikan perhatian lebih serius dengan sewajarnya bagi mengelak perkara-perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

* Dr Muzaffar Syah Mallow adalah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

 


Pengarang :