PBTSELANGOR

Hab Bas Jalan Othman mulakan operasi, mudahkan pengguna

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 15 APR: Hab Bas Jalan Othman kini mula beroperasi selepas dinaiktaraf kemudahan prasarananya bagi memudahkan penduduk Petaling Jaya.

Sekretariat Media, Unit Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memaklumkan projek bina semula hab bas itu merupakan antara inisitif dibawah Program Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pengangkutan awam.

Katanya, bangunan hab bas yang berkeluasan bangunan 2,300 m2 (meter persegi) itu, siap dibina pada 5 Mac 2018 dengan kos keseluruhan berjumlah RM 3,935,451.00.

“Antara kompenen-kompenan yang terdapat di hab bas itu ialah tempat parkir bas, ruang legar umum, lif, tandas lelaki dan perempuan serta tandas Orang Kurang Upaya, pejabat urusan dan kaunter tiket.

“Selain itu, sebuah unit bit polis, kedai serbaneka (24 jam) dan ruang menunggu tertutup dilengkapi penghawa dingin yang boleh memuatkan 50 orang dalam satu masa.

“Manakala, di aras satu, ia turut dilengkapi 16 unit gerai bagi menempatkan semula penggerai dari bangunan asal yang bersaiz minimum 144 m2, dan lot-lot premis besar untuk ‘anchor tenant’ serta ruang legar,” katanya dalam kenyataan.

Hab bas itu turut mengambil kira konsep barrier free dalam bangunan dan pejalan kaki yang menghubungkan bangunan di kawasan dan infrastruktur sedia ada.

Katanya, bangunan hab bas juga direkabentuk dengan ciri GBI (Green Building Index) serta universal design seperti sistem natural lighting (pengcahayaan semulajadi) dan sistem pengudaraan semula jadi.

Selain itu, penanaman semula pokok sekeliling bangunan secara ‘vertical landscape’ (mengikut kesuaian rekabentuk), keperluan kemudahan yang memudahkan semua jenis pelawat termasuk OKU, penggunaan sistem elektrikal dan mekanikal jimat tenaga dan penerapan konsep atau elemen sistem bangunan pintar.

Kedudukan Hab Bas Jalan Othman ini adalah strategik dan berada dalam lingkungan kemudahan utama seperti klinik, sekolah, bank, pejabat pos, dan pasar besar seterusnya menjadikan terminal itu sentiasa mendapat tumpuan masyarakat selain sebagai pusat transit ke kawasan sekitarnya.

 


Pengarang :