SUKANKINI

Hamidin sah bertanding jawatan Presiden FAM

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 APR: Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan akan bertanding jawatan Presiden FAM, pada kongres yang bakal berlangsung, pada 14 Julai ini.

Pengumuman itu dibuat pada sidang media Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM Penggal 2017-2021 di Wisma FAM, Kelana Jaya susulan pengumuman perletakan jawatan DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, pada 25 Mac lalu.

“Dengan memikirkan semua sudut, saya dengan ini memaklumkan setelah Jawatankuasa Eksekutif FAM menerima perletakan jawatan Tengku Mahakota Johor sebagai Presiden FAM, saya ingin mengesahkan saya bersedia bertanding jawatan itu bagi kongres ke-46 pada 14 Julai ini,” katanya.

Beliau turut menjunjung kasih kepada tiga orang Presiden FAM sepanjang memegang jawatan Setiausaha Agung FAM selama lima tahun.

Hamidin berkata, jawatan Presiden FAM adalah ‘landing terakhir’ bersama badan bola sepak negara dan tidak akan kembali ke jawatan sebagai Setiausaha Agung FAM jika tidak berjaya, pada 14 Julai ini.

“Seperti saya katakan, sama ada menang atau tidak, sama ada (jadi) presiden atau tidak lagi berada dalam FAM.

“Dua sahaja (kemungkinan). Saya tidak akan ada lagi ke jawatan Setiausaha Agung. Itu jelas kepada media dan penyokong,” katanya.

Dalam mesyuarat sama, turut diumumkan Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi akan menjadi Pemangku Presiden FAM sehingga kongres terdekat dilangsungkan, pada 14 Julai ini dan keputusan itu dicapai hasil sokongan sebulat suara.


Pengarang :