NASIONAL

Hampir mustahil bubar Rejimen Askar Melayu Diraja

SHAH ALAM, 1 APR: Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menegaskan hampir mustahil bagi mana-mana pihak membubarkan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) kerana ia dilindungi perlembagaan.

Presidennya, Mohamad Arshad Raji berkata,rejimen itu juga memiliki sejarah panjang, termasuk mempunyai kaitan dengan Raja-raja Melayu.

“Kita perlu faham sejarah penubuhan RAMD dan menyedari hampir mustahil membubarkan atau membuat pengisytiharan berlebihan berkenaan RAMD.

“Saya katakan ini dengan niat sangat jelas, bahawa tiada kerajaan atau mana-mana bakal kerajaan yang mahu membuat perisytiharan sedemikian, bukan hanya atas sebab sejarah tetapi lebih penting perkaitan RAMD dengan Raja-raja Melayu,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkenaan rejimen tertua dalam angkatan tentera darat itu.

Terdahulu, Najib dalam satu majlis makan malam bersama anggota polis dan tentera memberi amaran bahawa RAMD mungkin dibubarkan jika rakyat salah memilih kerajaan.

Mohamad Arshad berkata, kenyataan Najib yang jelas ditujukan kepada pembangkang tidak memberikan petanda baik kepada perpaduan negara.

“Walaupun perdana menteri tidak secara khusus menyatakan apa dimaksudkan dengan ‘Malaysian Malaysia’, orang boleh andaikan beliau merujuk kepada parti pembangkang, terutama DAP kerana ia merupakan parti yang menyokong konsep Malaysian Malaysia’ sejak 1970-an.

“Parti itu menggugurkan konsep berkenaan sebagai slogan dua dekad lalu, (tetapi) jelas perdana menteri menyindir kerajaan dipimpin DAP jika pembangkang menang pilihan raya.

“Kami pasti kenyataan beliau juga akan memperkecilkan raja Melayu,” tambahnya.

RAMD ditubuhkan pada 1933 oleh kerajaan kolonial British dan merupakan pasukan tempur infantri tertua serta tertinggi dalam angkatan tentera.

Batalion pertamanya ditugaskan mengadakan upacara kawalan kehormat dan istiadat dalam acara rasmi membabitkan Yang di-Pertuan Agong.


Pengarang :