SELANGOR

Haniza optimis PAKATAN tawan Lembah Jaya

OLEH HAFIZAN TAIB

AMPANG, 28 APR: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Haniza Talha, optimis boleh menempa kejayaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU14) nanti.

Timbalan Ketua Wanita KEADILAN itu berkata, pengalaman diraih ketika mewakili DUN Taman Medan akan digunakan bagi memenangi sokongan rakyat di DUN Lembah Jaya.

“Saya mempunyai rekod perkhidmatan baik di Taman Medan dalam dua penggal lalu dan yakin mampu mengulangi kejayaan di sini.

“Dari segi demografi, Lembah Jaya tidak banyak beza dengan Taman Medan dan saya akan jadikan kejayaan diraih di sana untuk ditawarkan ke sini,” katanya kepada media selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Datuk Ahmad Razali di sini, hari ini.

Haniza yang juga Mantan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor berkata, kecemerlangan PAKATAN mentadbir Kerajaan Negeri akan memberi kelebihan kepada gabungan parti itu bagi mengungguli kawasan berkenaan seterusnya Selangor.

“Saya yakin kita akan teruskan kecemerlangan kita di Selangor dan akan menjadi contoh kepada negeri lain,” katanya.

Beliau bakal berdepan empat calon lain iaitu penyandang, Khazim Abdul Aziz (PAS), Muhamad Nizam Shith (BN) dan Norizam Mohamad (PRM).

=EZY=


Pengarang :