PBTSELANGOR

Hantar minyak masak terpakai elak pencemaran

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 APR: Peniaga bazar Ramadan digesa supaya menghantar minyak masak terpakai kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sepanjang Ramadan kali ini untuk mengelakkan pencemaran dan ke arah sasaran bandar rendah karbon.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, MBSA menyediakan tong minyak masak terpakai di beberapa lokasi bazar Ramadan yang menjadi tumpuan orang ramai.

“Diharap pada tahun ini penjaja yang memasak di bazar tidak menggunakan minyak berlebihan untuk makanan bergoreng.

“Sekiranya ada minyak sudah tidak digunakan, jangan buang ke longkang atau tong sampah, minyak ini boleh dihantar kepada MBSA, buat kali pertamanya tong minyak ini diletakkan di bazar berbanding sebelum ini hanya di Pusat Kitar Semula yang terpilih,” katanya.

Program kitar semula minyak masak telah dilaksanakan MBSA sejak 2009 sehingga kini bertujuan mengawal pencemaran longkang.

MBSA mula mengambil inisiatif memupuk kesedaran orang awam selepas mendapati kebanyakan minyak masak terpakai terus dibuang sehingga menyebabkan pencemaran.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, minyak masak terpakai bersifat hidrofobik bertindak mengumpulkan bahan pencemar sebelum mendap di dalam kolam takungan banjir dan memberikan kesan kepada kualiti air dan rantaian makanan.

“Minyak masak dikumpulkan di kawasan pentadbiran MBSA seperti pengusaha kantin, peniaga kedai makan atau gerai makanan kebiasaannya dikitar semula menjadi biodiesel.

“Menerusi program menggunakan konsep ‘waste to wealth’ ini, komuniti boleh menjana pendapatan dengan menyertainya bagi mengisi tabung persatuan penduduk,” katanya.

MBSA menyediakan tong pengumpulan minyak masak terpakai khusus untuk kemudahan penduduk Shah Alam bagi membuang minyak masak terpakai di lokasi seperti Pusat Kitar Semula Seksyen 6, Seksyen 11, Seksyen 17, Seksyen 25 dan Seksyen U8.

Dalam masa yang sama MBSA turut menyediakan perkhidmatan menghantar dan mengambil tong bagi pengumpulan minyak masak untuk restoran, kantin, kilang makanan, dan hotel dengan kapasiti tong adalah 60 liter, 200 liter dan 1,000 liter.

=EZY=


Pengarang :