NASIONAL

Harga bahan api kekal, bukti subsidi boleh dikembalikan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 26 APR: Harga petrol RON95, RON97 dan diesel yang kekal lima minggu berturut membuktikan kerajaan boleh mengembalikan subsidi bahan bakar tersebut.

Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pengekalan harga petrol dan diesel juga membuktikan harga bahan api itu boleh distabilkan.

“Kerajaan baru PAKATAN akan menstabilkan harga petrol dan diesel serta memperkenalkan semula subsidi secara bersasar dalam 100 hari pertama pentadbiran kami.

“Ini sejajar dengan teras utama pentadbiran PAKATAN iaitu meringankan bebanan kehidupan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas harga RON95, RON97 dan diesel yang diumumkan kekal, semalam.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan RON95 dijual pada harga RM2.20 seliter dan RON97 pula RM2.47 seliter.

Harga jualan runcit diesel pula masih RM2.18 seliter.

Pengekalan harga itu berlaku ketika rakyat Malaysia akan keluar mengundi untuk Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), pada 9 Mei.


Pengarang :