BERITA UTAMASELANGOR

HIJRAH cadang naik kadar pinjaman kepada RM100,000

OLEH SABIRAH AZIZ

SUBANG JAYA, 6 APR: Hijrah Selangor (HIJRAH) bercadang menaikkan had pinjaman mikrokredit daripada RM50,000 kepada RM100,000 buat pemohon yang layak.

Pengerusi Eksekutifnya, Dato’ Mansor Othman berkata, pihaknya menghantar cadangan berkenaan kepada Kerajaan Negeri supaya dipertimbangkan bagi membantu lebih ramai usahawan memulakan perniagaan.

“Ia juga bagi membantu syarikat pemaju berkembang lebih maju dalam bidang perniagaan diceburi.

“Perkara ini ekoran kami menerima sambutan amat menggalakkan daripada peminjam. Ia termasuklah peratusan kadar bayaran balik pinjaman yang memberangsangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus NLP (Mentoring) Syarikat Peneraju dan Usahawan HIJRAH dengan kerjasama Kumpulan Perangsang Selangor di Hotel Summit, USJ hari ini.

Katanya, melalui program HIJRAH, peserta bukan hanya diberikan pinjaman malahan turut dibantu daripada pelbagai sudut.

“Justeru itu, kami melantik beberapa syarikat peneraju untuk memberikan bimbingan supaya dapat meluaskan landasan perniagaan sekali gus memperkenalkan produk mereka ke pasaran,” katanya.

Kursus yang berlangsung tiga hari itu membabitkan 16 mentor dan 44 mentee daripada pelbagai golongan.


Pengarang :