SELANGOR

HIJRAH tawar sewa berpatutan di tapak T.O.L PKNS

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 4 APR: HIJRAH Selangor (HIJRAH) diberi kepercayaan mengendalikan tapak perniagaan Tempat Orang Lokal (T.O.L) di Kompleks PKNS di sini, yang menawarkan harga sewa tapak lebih berpatutan kepada usahawan.

Pengurus Khidmat Profesionalnya, Nur Siti Hazliana Mat Hashim berkata, terdapat tiga jenis sewaan ditawarkan kepada peniaga dengan kadar sewa dari RM2,000 hingga RM2,800 sebulan.

Katanya, kadar sewaan itu termasuk bayaran elektrik, permit dan GST, bergantung kepada keluasan tapak di situ.

“HIJRAH diberi kepercayaan mengambil alih T.O.L dan kami membuka peluang kepada vendor atau usahawan tempatan khususnya di Selangor, untuk menjadikan tapak ini sebagai landasan mereka memperkenalkan produk masing-masing.

“Sehingga kini, 25 lagi vendor diperlukan dan keutamaan diberikan kepada pengusaha atau peniaga yang menjual barangan unik, menarik, dan lain dari lain.

“Di samping itu, kontrak kepada penyewa diberikan bermula dari April hingga Disember 2018, dengan kemasukan vendor baru pada 15 April ini.

“Waktu operasi pula bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam, ” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau berkata, T.O.L kini mempunyai 16 vendor sedia ada dan bakal mengadakan pembukaan secara rasmi pada awal bulan Mei depan dengan pelbagai kelainan dan pengisian khas diberikan kepada pengunjung dan usahawan.

“Antara pengisiannya adalah membuka pentas di tapak ini dengan berkolaborasi bersama Deejay dan PKNS bagi membuat pelbagai aktiviti pada hujung minggu serta memberi peluang kepada para peniaga mempromosikan produk mereka,” katanya.

T.O.L adalah sebuah projek tranformasi bagi menjenamakan semula dan menaik taraf kompleks PKNS yang berusia lebih 40 tahun itu dan sangat terkenal pada tahun 80an.

Ia bertujuan mengembangkan perniagaan usahawan baru lokal yang berani mengambil cabaran demi merealisasikan impian mereka dengan mengenakan kadar berpatutan.

Sementara itu, Pengurus Lee Trading, Mohd Norazli Md Daud, 27, yang mengikuti program HIJRAH berpendapat, peluang diberikan Kerajaan Negeri kepada usahawan selama ini dilihat banyak membantu peniaga kecil-kecilan mengembangkan perniagaan mereka.

“Saya sudah menyewa tapak di sini hampir dua tahun dan menerima respon amat baik daripada pelanggan.

“Lumrah jatuh dan bangun dalam sesebuah perniagaan, namun berkat sokongan dan dorongan dari HIJRAH, saya berjaya sampai ke tahap ini.

“Saya mahu usahawan di luar sana menggunakan peluang diberikan sebaik mungkin dan tidak takut mengambil risiko dalam perniagaan,” katanya yang menjalankan perniagaan menjual kasut, sandal dan selipar.

Sebarang pertanyaan mengenai sewa tapak T.O.L boleh menghubungi Shazatul Athirah di talian 012-6723713 atau 03-55191692.


Pengarang :