dav
SELANGOR

Home Help Services bukti MPSJ prihatin golongan OKU

OLEH SHEEDA FATHIL

SERI KEMBANGAN, 19 APR: Program Jalinan Kasih “Home Help Services” membuktikan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) prihatin terhadap golongan kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU), miskin dan terlantar.

Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkarnain Che Ali berkata, program anjuran kali keempat itu mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) cawangan Subang Jaya dan Jawatankuasa Penduduk Zon 19.

“Kali ini, kita memilih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Permata Hati ini iaitu pusat pemulihan yang ditubuhkan oleh JKM bertujuan memberi latihan kepada OKU terpilih.

“MPSJ turun sebagai PBT menghulurkan bantuan barangan asas seperti beras, lampin pakai buang serta keperluan asas yang lain” katanya dalam sidang media di PDK Permata Hati di sini, hari ini.

Program itu turut dihadiri Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang, Noor Hanim Ismail dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Hanafi Maulud.

Sementara itu, Noor Hanim turut memuji inisiatif dianjurkan MPSJ yang menjaga kebajikan golongan OKU tanpa mengira bangsa.

“Di bawah DUN Sri Serdang, saya memang sudah meletakkan sasaran kebajikan yang akan diutamakan tanpa mengenal ideologi, agama, bangsa mahu pun warna kulit.

“Saya harap program sebegini terus dilaksanakan bukan sahaja di bawah MPSJ, namun di seluruh PBT,” katanya.


Pengarang :