SELANGOR

Honda Malaysia panggil 28,399 kereta 2013

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 6 APR: Honda Malaysia kini memanggil balik 28,399 unit kenderaan bagi empat model 2013 bertujuan untuk mendapatkan penggantian inflator beg udara bahagian hadapan penumpang Takata.

Honda Malaysia berkata, model terbabit adalah City iaitu 14,944 unit, Jazz (6,874 unit), Jazz Hybrid (6,211) dan Insight (370).

Katanya, syarikat melanjutkan langkah proaktif untuk memastikan keselamatan pelanggan yang merupakan keutamaannya.

“Setakat Mac 2018, Honda Malaysia sudah menyiapkan lebih 223,000 unit daripada 435,000 penggantian inflator beg udara bahagian hadapan penumpang Takata.

“Kami menegaskan bahawa semua model yang sedang dijual, tidak akan terjejas dan akan terus mendukung kawalan telus dan ketat bagi memastikan keselamatan pengguna,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Bagaimanapun, setakat ini tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan membabitkan inflator beg udara bahagian hadapan penumpang Takata, di Malaysia.

Honda Malaysia berkata, syarikat akan memaklumkan kepada semua pelanggan yang terjejas melalui surat pemberitahuan termasuk perincian terkini produk terbabit.

“Pelanggan menerima surat itu digalakkan menghantar kenderaan mereka kepada pengedar Honda yang sah untuk membuat pemeriksaan dan penggantian secara percuma.

“Honda akan memastikan stok penggantian inflator beg udara bahagian hadapan penumpang mencukupi selain meningkatkan kapasiti perkhidmatan melalui hab bergerak, hab di stesen Petronas terpilih dan hab rantaian Honda,” katanya.

Mereka juga boleh memeriksa status tarik balik kenderaan dengan melayari www.honda.com atau www.productrecall.honda.com.my atau menghubungi Honda di talian bebas tol1-800-88-2020.


Pengarang :