NASIONAL

Humban ‘perompak dan pencuri’ ke laut 9 Mei depan

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA SELANGOR, 24 APR: Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei depan merupakan detik penting buat rakyat untuk mencampakkan ‘perompak’ dan ‘pencuri’ supaya rakyat serta negara akan terus makmur khususnya dalam mendapatkan faedah kebajikan lebih baik.

Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) Negeri Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Selangor dan Pulau Pinang merupakan contoh terbaik tanpa kehadiran Umno hampir 10 tahun di tampuk kuasa bahkan rakyat memperoleh banyak manfaat.

“Kita membingkai satu muafakat kerana dengan satu tekad perompak dan pencuri mesti dihumban pada 9 Mei yang akan datang.

“Sebab perompak dan lanun tidak boleh berada di atas darat, lanun mesti dicampak ke dalam laut, biarlah mereka berlayar dengan kapal yang mereka ada,” katanya.

Bercakap pada Jelajah Harapan Selangor di Stadium Majlis Daerah Kuala Selangor semalam beliau turut menyangkal kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilaporkan berkata negara akan bankrap jika Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak dilaksanakan.

Beliau berkata Malaysia hanya akan bankrap jika terdapat Perdana Menteri yang perompak dan perasuah.

“Kita sudah empat tahun tidak mengutip cukai taksiran di kampung-kampung seperti kampung baru, bagan, tradisi dan rumah kos rendah.

“Apabila saya kecualikan cukai taksiran, Kerajaan Negeri kehilangan hasil sebanyak RM320 juta tetapi Selangor tidak bankrap. Lebih banyak saya beri kepada rakyat, lebih banyak rezeki Allah turunkan di bumi Negeri Selangor.

“Sekarang rizab simpanan Kerajaan Negeri hampir bernilai RM4 bilion,” katanya.

Dalam ucapannya beliau turut mengingatkan supaya keluar awal untuk membuang undi dan memilih Pakatan Harapan yang akan menggunakan logo KEADILAN pada PRU kali ini.

Katanya ia bagi mengelakkan insiden apabila pengundi tidak dapat melaksanakan tanggungjawab itu apabila ada pihak lain menggunakannya untuk bagi tujuan pengundian.

=EZY=

 


Pengarang :