BERITA UTAMASELANGOR

IDE: Sokongan terhadap PAKATAN di Selangor melonjak kepada 56%

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 25 APR: Kajian Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati 56 peratus rakyat menyokong Pakatan Harapan (PAKATAN) di Selangor menjelang pilihan raya umum ke 14 (PRU14) nanti.

Timbalan Pengerusinya, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, kajian terbaharu insititut itu pada 21 hingga 23 April lalu, memberi gambaran positif terhadap PAKATAN bagi mengekalkan kuasa di negeri itu.

“Berdasarkan kajian dibuat, IDE melihat sokongan kepada PAKATAN meningkatkan kepada 56 peratus berbanding sebelumnya, 49 peratus pada Mac lalu.

“Ia menunjukkan sokongan kepada PAKATAN masih tinggi tetapi beberapa faktor lain mungkin mempengaruhi keputusan PRU contohnya persempadanan semula kawasan,” katanya dalam Siri Forum Demokrasi PRU14 di Universiti Selangor (UNISEL) di sini, hari ini.

Beliau berkata, kajian itu menunjukkan Umno-Barisan Nasional (BN) sekadar memperoleh sokongan 30 peratus dan PAS (13 peratus)

Selain Dr Mohammad Redzuan, forum itu menampilkan panelis iaitu Pengerusi Kluster Pendidikan Politik dan Demokrasi IDE, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, Setiausaha PAKATAN, Datuk Saifuddin Abdulah dan Penyampai Astro Awani, Nazri Kahar.

Ia dimoderatorkan Felo Penyelidik Institut Kajian Pilihan Raya dan Pemajuan Demokrasi (IESAD), Prof Madya Dr Hamdan Datuk Mohd Salleh.

Mengulas lanjut, katanya ia dikukuhkan dengan populariti Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang mencapai 65 peratus.

“Penggunaan satu logo iaitu logo KEADILAN untuk PAKATAN dalam PRU14 nanti jelas dilihat memberi kelebihan kepada gabungan itu dalam PRU nanti,” katanya.

=EZY=


Pengarang :