SELANGOR

Ihsan Kerajaan Negeri bantu mangsa kediaman terjejas

OLEH SHEEDA FATHIL

AMPANG, 1 APR: Seramai 24 individu menerima sumbangan daripada Kerajaan Negeri selepas kediaman mereka terjejas ekoran projek menaik taraf Sungai Ampang.

Sumbangan diserahkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, di Masjid Jami’ul Huda, di sini, hari ini dengan disaksikan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Azmi Diron.

Zuraida dalam ucapannya berkata, sumbangan itu bukti keprihatinan Kerajaan Negeri kepada penduduk, di Jalan Pinang dan Jalan Kempas.

“Jika diikutkan prosedur atau undang-undang, tiada peruntukan untuk sumbangan ini, namun atas keprihatinan Kerajaan Negeri, Dato’ Menteri Besar sedaya upaya menyantuni mereka.

“Setiap penerima diminta membuat tuntutan barangan terjejas dan pada masa sama, saya sendiri sudah pergi rumah ke rumah untuk melihat sama ada wajar atau tidak mereka menerima sumbangan ihsan ini,” katanya.

Beliau berkata, sumbangan itu adalah fasa pertama membabitkan 48 individu keseluruhannya yang dijangka akan menerima bantuan sama, tidak lama lagi.

Sementara itu, salah seorang penerima, Zulkarnain Salleh, 57, mengucapkan syukur dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan berkenaan.

“Saya berasa terharu kerana Kerajaan Negeri sudi menghulurkan bantuan ini walaupun ia tiada dalam peruntukan,” katanya.

Manakala, Syazwani Adlina Sazali, 26, berkata, banyak kerosakan terjadi di rumahnya, justeru inisiatif Kerajaan Negeri amat dihargai.

“Bantuan ini sedikit sebanyak membantu saya dan keluarga untuk membaik pulih kediaman,” katanya.


Pengarang :