SUKANKINI

Imran, Lauren wakili Malaysia ke F4F 2018 di Rusia

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM 3 APR: Malaysia bakal menyertai Projek Sosial Kanak-Kanak Antarabangsa ‘Football For Friendship’ (F4F) buat kali pertama di Moscow, Rusia bersempena Piala Dunia FIFA 2018 dari 8 hingga 15 Jun depan.

Menerusi program itu Malaysia bakal diwakili dua pemain bola sepak muda, Imran Zakaria, 16 dan Lauren Chow, 12.

Dalam kenyataannya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan, kedua-dua pemain akan menyertai program itu dengan peranan masing-masing.

“Di Rusia nanti, Imran akan berperanan sebagai ‘jurulatih muda’ bagi melatih salah satu daripada 32 pasukan campuran yang dibentuk di kalangan pemain-pemain berusia 12 tahun dari seluruh dunia.

“Manakala Lauren pula bertindak sebagai ‘wartawan muda’ bagi membuat liputan sepanjang program berkenaan,” katanya.

Satu pertemuan antara Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bersama Imran dan Lauren serta keluarga masing-masing diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini, bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung program berkenaan dan persiapan bakal diatur.

Memasuki edisi keenam dan ini adalah kali pertama Malaysia dijemput bagi menghantar wakil ke program F4F itu.

Menariknya, kedua-dua Imran dan Lauren akan berpeluang terbabit dalam upacara perasmian Piala Dunia FIFA 2018 dan menyaksikan perlawanan sulung antara Russia dan Arab Saudi di Stadium Luzhniki pada 14 Jun nanti.

=EZY=


Pengarang :