GLOBAL

Indonesia tuntut jawapan dalam seminggu daripada Facebook

JAKARTA 21 APR: Indonesia memberi masa seminggu kepada Facebook untuk memberikan lebih banyak maklumat berkaitan bagaimana data peribadi sejuta ra­yatnya disalahgunakan dan langkah firma jaringan sosial itu untuk menghalang penyelewengan serupa da­ripada berulang, kata Kementerian Komunikasi Indonesia.

Lebih 115 juta rakyat Indonesia menggunakan Facebook, manakala pihak berkuasa negara Asia Tenggara itu memberi tekanan kepada media sosial itu untuk menjelaskan bagaimana data peribadi itu ‘dituai’ oleh firma perunding, Cambridge Analytica melalui kuiz perso­naliti.

Seorang pegawai Facebook meminta maaf kepada Parlimen Indonesia pada sesi pendengaran awam minggu ini.

Menurutnya, data milik 1,096,666 rakyat Indonesia atau 1.26 peratus daripada jumlah global itu mungkin terjejas akibat skandal itu.

Dalam satu kenyataan petang kelmarin, kementerian itu berkata, pihaknya telah menghantar sepucuk surat kepada unit perniagaan antarabangsa utama syarikat berkenaan, Facebook Ireland Ltd, sebagai maklum balas kepada surat bertarikh 10 April daripada ketua unit perlindungan data Facebook.

Dalam suratnya, Kementerian Komunikasi menuntut maklumat dan dokumen terperinci berhubung sebarang penyalahgunaan termasuk sama ada data Facebook dikongsi dengan pihak ketiga seperti CubeYou dan Aggregate IQ.

Facebook menyatakan bahawa ia telah menggantung firma perunding politik Kanada, Aggregate IQ daripada platformnya susulan laporan firma itu mungkin mempunyai akses data peribadi pengguna Facebook secara tidak wajar.

Menurut saluran berita CNBC, Facebook turut menggantung CubeYou untuk menjalankan siasatan bagaimana firma analisis data itu mengumpulkan maklumat pengguna melalui kuiz di Facebook.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :