Gambar Hiasan
NASIONAL

Isu pengangguran di Malaysia semakin parah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 APR: Isu pengangguran di negara ini berada pada tahap membimbangkan berdasarkan kepada data Jabatan Statistik Malaysia, kata Dekan Pusat Pembangunan Asasi Universiti Selangor (UNISEL), Profesor Madya Dr Hamdan Dato’ Salleh.

Dr Hamdan berkata, terdapatnya penurunan ketara mengenai peratus peluang pekerjaan yang dibuka kepada warganegara Malaysia.

“Secara purata, antara 2011 hingga 2014, sekitar 94 peratus peluang pekerjaan di Malaysia adalah untuk warganegara Malaysia.

“Namun, 2015 pula menyaksikan hanya 35.6 peratus peluang pekerjaan untuk warganegara manakala 64.4 peratus diberikan kepada warga asing,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Dr Hamdan yang juga selaku Felo Penyelidik Penubuhan Institut Kajian Pilihan Raya dan Pemajuan Demokrasi (IESAD) berkata, tambah membimbangkan pada 2016, hanya 18.5 peratus peluang pekerjaan terbuka kepada warganegara Malaysia manakala 81.5 peratus untuk warga asing.

“Data ini jelas membuktikan bahawa kadar pengangguran semakin meruncing apabila 50 peratus pekerjaan dicipta di Malaysia diberi kepada warga asing dan hal ini perlu ditangani secara holistik.

“Ia jelas menunjukkan kerajaan Persekutuan gagal menangani isu pengangguran walaupun pelaburan demi pelaburan dibawa masuk ke negara ini,” katanya.

Katanya, tidak berbaloi sekiranya ekonomi dirasakan gah dengan pelbagai pertumbuhan hebat namun masih gagal memberi ruang dan peluang pekerjaan kepada anak muda Malaysia.

Beliau berkata, walaupun kerajaan Persekutuan melancarkan program Inisiatif Melestari Pembangunan Komuniti (1MPAK) dengan menjanjikan 2.6 juta peluang pekerjaan namun ia masih sukar untuk direalisasikan seandainya isu sebegini tidak mampu diselesaikan.

“Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) juga sukar mencapai kejayaan sekiranya majikan hanya menggunakan skim ini untuk memberi status kontrak jangka masa pendek tanpa melihat sewajarnya perlu ada perkembangan kerjaya kepada golongan belia,” katanya.

=EZY=


Pengarang :