NASIONAL

Jadikan 9 Mei lembaran sejarah Malaysia baru

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 14 APR: Tanggal 9 Mei depan seharusnya menjadi detik terbaik kepada masyarakat seluruh negara untuk melakar sejarah baru pembinaan Malaysia yang lebih baik.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, rakyat harus menjalankan tanggungjawab untuk memilih komponen parti Pakatan yang mampu merealisasikan perubahan itu.

“Saya bukan angkuh dan sombong, tapi rekod 10 tahun Pakatan di Selangor sudah membuktikannya.

“Justeru 9 Mei ini, biar sejarah baru tercipta, demi kesejahteraan Malaysia,” katanya Majlis Penyampaian Sumbangan Membangun Bangsa, Memakmur Negeri kepada penduduk Kampung Melayu Tambahan Ampang, pagi ini.

Rakyat Malaysia akan membuang undi bagi memilih mandat pentadbiran baru, 9 Mei ini.

Ia susulan pembubaran Dewan Rakyat dan diputuskan minggu lalu selepas mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Justeru, Mohamed Azmin berkata, masyarakat seluruh negara perlu berani membuat perubahan, tanpa perlu terikat dengan persepsi lama, kononnya Pembangkang tidak berkemampuan untuk mentadbir negara.

“Mereka kata Pembangkang tak mampu urus negara. Tetapi bagaimana di Selangor? Ini semua sudah menjadi mitos.

“Sejak 2008 Pakatan mentadbir Selangor lebih 10 tahun lalu, Selangor kini lebih maju berbanding 50 tahun ketika Umno mentadbir dulu.

“Inilah bukti keupayaan kita untuk mentadbir Putrajaya,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :