SELANGOR

Jadikan Jalan Kebun kubu reformasi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 APR: Calon KEADILAN DUN Sungai Kandis (N49) berikrar untuk menjadikan Kampung Jalan Kebun sebagai kubu reformasi selepas melihat perubahan sokongan, pada 2013.

Shuhaimi Shafiei berkata, penduduk kampung itu pada mulanya tidak mahu melihat perubahan politik ketika dirinya dicalonkan, pada 2008.

“Ketika saya masuk pada 2008, gambar saya langsung tiada. Gambar saya dibakar dan kalah ketika itu.

“Tetapi selepas memenangi dengan 110 undi di saluran ini pada 2013, saya percaya walaupun cubaan memindahkan undi dilakukan, kampung ini akan tetap menjadi kubu reformasi sampai bila-bila,” katanya.

Beliau berkata, kampung terbabit bukan sahaja membangun dari segi infrastruktur tetapi pemikiran penduduk setempat.

Shuhaimi berkata, kejayaan mewujudkan kampung yang makmur dan damai itu menunjukkan tanda aras setiap pimpinan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Saya sayangkan kampung ini, di sini penduduknya sangat mesra, saling tolong menolong dan bekerjasama serta mewujudkan semangat kejiranan yang kuat.

“Penduduk Jalan Kebun merupakan pendukung saya. Saya bangga mewakili kampung ini, penduduk dan pemimpin berganding bahu sehingga diangkat menjadi kampung tradisi terbaik 2017,” katanya.

 


Pengarang :