SELANGOR

JAKESS: Hanya 25 daripada 12,500 kes tertangguh 2016 belum selesai

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 APR: Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS) berjaya mencapai sasarannya untuk menyelesaikan kesemua kes perceraian tertunggak didaftarkan pada 2016.

Ketua Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain berkata, sehingga kini hanya tinggal 25 kes yang belum diselesaikan daripada 12,500 kes yang didaftarkan pada tahun terbabit.

“Kes perceraian pun kami tetapkan Indeks Prestasi Utama (KPI) supaya kes didaftarkan pada 2016 mesti diselesaikan tahun ini dan setakat ini daripada 12,500 kes yang didaftarkan pada 2016 hanya tinggal 25 kes sahaja untuk diselesaikan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Istiadat Serah Watikah Pelantikan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah dan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah Negeri Selangor di Istana Bukit Kayangan di sini, hari ini.

Ketika menyentuh pelantikan baru oleh Duli Yang Maha Muli (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, beliau menjelaskan, beliau menaruh keyakinan pelantikan ini mampu melancarkan lagi perjalanan kes tertunggak.

Katanya, kelancarkan perjalanan kes di mahkamah ini juga memberi manfaat besar kepada umat Islam di Selangor.

“Sebagai Ketua Jabatan, saya nasihatkan yang ditauliahkan hari ini untuk melaksanakan tugas dengan menjunjung titah tuanku untuk menegakkan keadilan berdasarkan peraturan sedia ada, hukum syarak yang ditetapkan Allah serta digariskan Nabi Muhammad,” katanya.

=EZY=


Pengarang :