NASIONAL

Jangan percaya mesej viral di media sosial -SPR

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUTRAJAYA, 26 APR: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menasihatkan pengundi tidak mudah terpengaruh dengan mesej viral di media sosial kerana ia mengelirukan orang ramai.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, orang ramai disaran merujuk terus kepada SPR bagi mendapatkan kesahihan maklumat diterima mereka.

“Antara mesej diviralkan di media sosial baru-baru ini ialah visual kaedah penandaan kertas undi yang dijalankan institusi tidak berkaitan dengan SPR.

“SPR menegaskan kaedah yang betul penandaan pada kertas undi adalah tanda pangkah `X’ dalam salah satu petak calon dipilih pengundi pada kertas undi berkenaan.

“Walaupun tanda lain masih diterima, namun ia bergantung kepada pertimbangan Ketua Tempat Mengundi yang memutuskan sama ada penandaan itu dalam kategori undi diterima, undi ragu atau undi ditolak,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Hashim berkata, bagi kemudahan pengundi, poster panduan cara penandaan kertas undi dengan betul turut dipaparkan pada setiap petak undi bagi memberi panduan kepada pengundi.

Beliau berkata, SPR juga tidak lagi menggunakan pensil dalam urusan pengundian, sebaliknya hanya menggunakan pen mata bola sejak pilihan raya lalu.

“Hanya kerani pengundian pertama saja yang mempunyai pen bagi menanda pemotongan nama pengundi dalam buku daftar Pemilih Pilihan Raya bagi saluran berkenaan, manakala petugas lain tidak dibenarkan mempunyai pen atau pensil untuk mencatat apa-apa pada kertas undi atau bahagian keratan buku kertas undi.

“Selain itu, pengundi juga dinasihatkan sentiasa berhati-hati supaya tidak mengotorkan kertas undi dengan sengaja sama ada dengan dakwat dan sebagainya. Jika kertas undi didapati rosak dengan tidak sengaja, pengundi hanya boleh meminta penukaran kertas undi lain sekali saja,” katanya.

Sebelum ini SelangorKini melaporkan Pemangku Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), Shahrul Aman Mohd Saari mendapati laman media sosial tular dengan mesej palsu berhubung cara mengundi yang salah.

Mesej berjaya dikesan kakitangan BERSIH 2.0 sejak awal April itu tersebar luas melalui aplikasi whatsapp, facebook dan twitter.


Pengarang :