BERITA UTAMASELANGOR

Jaringan reformasi pengangkutan, manfaat lebih 100,000 pengguna

OLEH ERMIZI MUHAMAD

RAWANG, 4 APR: Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan sebanyak RM42 juta bagi tujuan pembangunan projek pembinaan Jambatan di atas Lebuhraya Utara Selatan Batu Arang, Batang Berjuntai.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, komitmen itu dizahirkan pentadbiran negeri bagi memastikan jaringan pembangunan bandar dan luar bandar terus dilaksanakan secara komprehensif.

Beliau berkata, iltizam itu juga sejajar hasrat Kerajaan Negeri memastikan masyarakat pinggir bandar turut mendapat akses jaringan pengangkutan dan fasiliti terbaik.

“Kerajaan Negeri berulang kali menegaskan pembangunan mampan yang dilaksanakan di seluruh negeri mestilah projek pembangunan berkualiti.

“Hal ini kerana wujud kebimbangan, apabila ada sesetengah pihak yang melaksanakan pembangunan, tetapi ianya tidak berkualiti dan mencapai standard yang kita tetapkan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata banyak insiden di tempat lain apabila atas nama pembangunan maka rakyat terpaksa dibebankan malah kemusnahan alam sekitar berlaku.

“Atas prinsip itu, menjadikan Kerajaan Selangor sangat tegas pembangunan itu perlu mematuhi peraturan ditetapkan.

“Ia bagi memastikan pembangunan dilaksanakan dapat menjaga kepentingan rakyat dan persekitaran alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Projek Jambatan di atas Lebuhraya Utara Batu Arang, Rawang di tapak projek berkenaan, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmi Diron; Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Gan Pei Nei dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong.

100,000 penduduk terima manfaat, kurangkan kesesakan trafik

Terdahulu, projek berkenaan mula diluluskan di peringkat negeri selepas pengambilalihan milik tapak dibuat pada 14 Februari 2018.

Projek itu dijangka siap bagi tempoh tiga tahun, dengan lantikan kontrak dibuat menerusi tender terbuka dan diserahkan kepada kontraktor, Ehsan Pantas Sdn Bhd.

Mohamed Azmin berkata, pembangunan projek berkenaan sekali gus dapat mengurangkan kesesakan trafik di jalan persimpangan utama Batu Arang dan Batang Berjuntai, khususnya pada waktu puncak.

“Kita menyaksikan kemajuan perbandaran di mukim Rawang menyebabkan kesesakan trafik, memandangkan jumlah penduduk di mukim ini melebihi 100,000 orang.

“Untuk menampung keperluan ini, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil tindakan proaktif untuk menyediakan fasiliti dan prasranana awam demi kesejahteraan warga Rawang.

“Justeru kita berharap, projek pembangunan ini dapat menyelesaikan masalah trafik secara efektif dan berkesan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :