dav
SELANGOR

JKM seru masyarakat tampil daftarkan OKU

OLEH SHEEDA FATHIL

SERI KEMBANGAN, 19 APR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyeru orang ramai yang mempunyai anak Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk segera mendaftarkan di JKM berhampiran.

Pengarah JKM Selangor, Hanafi Maulud berkata, setakat ini 78,184 OKU berdaftar di seluruh negeri dan beliau percaya masih ramai yang belum mendaftarkan diri.

“Kita mengalu-alukan kepada masyarakat di sini segera membawa golongan OKU berdaftar dengan JKM supaya mereka boleh menerima manfaat dan bantuan daripada kami.

“Untuk makluman, di Subang Jaya sahaja sudah ada 7,873 OKU berdaftar dan ini merupakan angka yang agak besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Jalinan Kasih “Home Help Services” di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Permata Hati, di sini, hari ini.

Program itu turut dihadiri oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang, Noor Hanim Ismail dan Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkarnain Che Ali.

Sementara itu, Hanafi berkata, setakat ini sudah terdapat 52 PDK di negeri ini dan ia berkemungkinan bakal ditambah pada masa datang.

“Selain PDK Permata Hati ini, kita juga ada PDK Cahaya Kasih di Subang Jaya dan yang terbaru PDK Wawasan Puchong Jaya.

“Kita turut mengalu-alukan kepada seluruh masyarakat setempat untuk tampil membantu golongan OKU di kawasan berhampiran,” katanya.


Pengarang :