SUKANKINI

Juventus mahu lunas dendam, Real enggan dibuai mimpi

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 3 APR: Dua finalis 2016/17, Juventus dan Real Madrid akan membuat perhitungan pertama peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi esok.

Di atas kertas kelebihan pastinya berpihak kepada Real Madrid yang turun selaku juara bertahan selepas menafikan hasrat Juventus pertengahan Mei lalu di Cardiff dengan kemenangan selesa 4-1.

Berdasarkan rekod sebelum ini, Juventus adalah pasukan terakhir yang menyekat kemaraan Real Madrid pada 2015 sebelum mereka dikecewakan Barcelona di perlawanan akhir.

Bahkan Real Madrid sendiri tidak pernah berjaya menewaskan Juventus dalam emat pertembungan timbal balik pada musim 1995/96, 2002/03, 2004/05 dan 2014/15.

Tetapi kedua-dua pasukan bakal turun dengan momentum kemenangan selepas menewaskan lawan masing-masing dengan jaringan tiga gol dalam aksi domestik hujung minggu lalu.

Memetik laporan UEFA.com. Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri menyifatkan kejayaan menewaskan Real Madrid pastinya satu kebanggan memandangkan mereka adalah pasukan pilihan dalam saingan Liga Juara-Juara.

“Ini malam gala buat kami (Juventus) dan penyokong pastinya akan bangga dengan pasukan yang berjaya mara ke dua perlawanan akhir dalam tempoh tiga tahun. Kami memerlukan sokongan mereka.

“Saya menonton aksi (akhir) di Cardiff beberapa kali. Kami bertambah baik dalam menghadapi situasi sukar perlawanan berbanding musim lepas,” katanya.

Bagi pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane, beliau menyifatkan perlawanan awal pagi esok berbeza dengan pertembungan akhir di Cardiff Mei lalu dan pasukannya sudah melupakan kenangan indah itu.

“Ini perlawanan besar untuk kedua-dua pasukan. Saya rasa Juventus dan Real Madrid mempunyai mentaliti sama (mahu menang). Sebenarnya, saya fikir banyak perkara yang dipelajari ketika bermain di sini. Juventus mempunyai pasukan mantap dan lengkap,” katanya.

=EZY=


Pengarang :