SELANGOR

Kaedah bubar Parlimen Najib timbul tanda tanya

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 6 APR: Pembubaran Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menimbulkan tanda tanya kepada orang ramai.

Exco Kerajaan Negeri, Ean Yong Hian Wah berkata, beliau beserta yang lain turut hairan dan tertanya-tanya berkenaan pembubaran yang diumumkan Perdana Menteri itu.

“Selalunya pembubaran Parlimen pada hari sama, namun berbeza hari ini Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Parlimen dibubarkan esok.

“Mungkin beliau mempunyai alasan tertentu yang kita pun tidak pasti,” katanya kepada SelangorKini.

Ean Yong yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan berkata, beliau dan komponen Pakatan Harapan (PAKATAN) sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bila-bila masa.

Pada masa sama, beliau turut yakin PAKATAN akan terus mendapat mandat Selangor untuk memenangi banyak kerusi, pada PRU kali ini.

“Selepas pelbagai dasar dilaksanakan Kerajaan Negeri, saya pasti rakyat akan terus menyokong kerajaan yang diterajui PAKATAN,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa 7 April ini.


Pengarang :