PBTSELANGOR

Karnival Sukan Remaja MBPJ tarik 5,200 peserta

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 24 APR: Karnival Sukan Remaja Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) 2018 mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 5,200 peserta terdiri daripada kanak-kanak dan belia.

Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Johary Anuar berkata, karnival itu adalah usaha MBPJ membantu dan meningkatkan pembangunan sukan remaja bagi mencungkil lebih ramai bakat baru dalam pelbagai acara sukan.

“Karnival ini dianjurkan setiap dua tahun sekali dan buat julung kalinya ia dilaksanakan bersempena sambutan ulang tahun bandar raya.

“Selain itu, program itu juga dapat meningkatkan jati diri dan keyakinan dalam diri remaja,” katanya.

Beliau berkata, karnival itu juga dapat meningkatkan kesedaran dan keterlibatan pelbagai pihak terhadap Program Pembangunan Sukan Remaja MBPJ.

“Di samping itu, program ini juga dapat mengukuhkan lagi perpaduan dan silaturahim antara kaum dalam kalangan kanak-kanak dan belia yang menyertai aktiviti diajurkan,” katanya.

Karnival dua hari yang berakhir pada 22 April itu melaksanakan pelbagai aktiviti antaranya hoki, basikal, push bike, futsal, sepak takraw, badminton, tenis, bola jaring, bola sepak dan merentas desa.

Karnival itu diadakan sempena Ulang Tahun Bandaraya Petaling Jaya ke-12 yang disambut, pada 20 Jun setiap tahun.

MBPJ turut memperuntukkan RM52,110 bagi hadiah keseluruhan untuk setiap sukan yang dipertandingkan.

 


Pengarang :