BERITA UTAMASELANGOR

Kaum Sikh terima peruntukan RM740,000

OLEH SABIRAH AZIZ

PETALING JAYA, 2 APR: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM740,000 bagi pembangunan kaum Sikh, di Selangor, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, jumlah itu termasuk sumbangan lebih RM570,000 kepada 21 gudwara, RM120,000 bagi aktiviti pendidikan serta RM50,000 kepada Selangor Sikh Association untuk kegiatan sukan.

Beliau turut menyifatkan kaum Sikh sebagai permata Selangor dan perlu bersama mempertahankan Kerajaan Negeri yang peduli rakyat.

“Di samping itu, peruntukan kepada kaum Sikh turut dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta. Diharapkan bantuan ini dapat membantu masyarakat Sikh menjalankan pelbagai aktiviti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Perayaan Vasakhi 2018 peringkat Selangor, di tempat letak kereta, Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), baru-baru ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, beliau merasa gembira meraikan perayaan masyarakat Sikh yang meriah dan muhibah.

“Masyarakat Sikh sebenarnya menyumbang khidmat cukup besar dalam membangunkan negara dan negeri, justeru mereka tidak boleh dilihat sebagai komuniti ‘marginal’ kerana sama-sama membawa perubahan signifikan.

“Selain itu, golongan ini juga tidak ketinggalan menjadi antara golongan profesional dan berbakat, contohnya Gobind Singh, peguam handal yang mewarisi mendiang Karpal Singh, yang menjadi contoh teladan kepada rakyat Malaysia,” katanya.


Pengarang :