NASIONAL

Kawasan larangan merokok tempat awam ditambah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 4 APR: Lebih banyak tempat awam bakal diwartakan sebagai kawasan larangan merokok bertujuan memastikan Malaysia mencapai sasaran menjadi negara bebas asap rokok menjelang 2045.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, bagi memastikan sasaran penurunan jumlah perokok dapat dikurangkan kepada lima peratus, kebanyakan kawasan awam di negara ini akan dipastikan bebas sebarang bentuk kegiatan merokok.

“Ini selaras dengan prinsip utama Artikel Lapan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) – Konvensyen Rangka kerja Kawalan Tembakau (FCTC) iaitu semua tempat awam adalah kawasan tidak merokok,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Hilmi menjawab soalan Datuk Seri Wee jeck Seng (BN-Tanjong Piai) yang ingin tahu hasil pencapaian penguatkuasaan kementerian di tempat awam bagi mencapai sasaran negara bebas asap rokok.

Hilmi berkata, setakat ini terdapat 23 jenis kawasan larangan merokok diwartakan menerusi Peraturan 11 Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan kawasan-kawasan lain yang diwartakan untuk Program Bandar Bebas Asap Rokok.

Beliau berkata, sepanjang peraturan itu dikuatkuasakan, 131,624 notis kesalahan dan 58,872 kompaun dikeluarkan kepada mereka yang lakukan kesalahan di kawasan terbabit.

=EZY=


Pengarang :