BERITA UTAMANASIONAL

KEADILAN gembira lihat muafakat semua parti guna satu logo

OLEH AFIX REDZUAN

PASIR GUDANG, 7 APR: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) merakamkan ucapan terima kasih atas pengorbanan seluruh parti komponen Pakatan Harapan (PAKATAN) yang bersetuju untuk menggunakan satu logo iaitu KEADILAN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, muafakat yang dipamerkan seluruh anggota PAKATAN berjaya melakar satu lagi sejarah dalam lanskap politik negara.

“Sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah politik tanah air Malaysia, malam ini berlaku yang mana semua parti Pembangkang mengambil ketetapan untuk menggunakan satu logo demi menjatuhkan Barisan Nasional dan menyelamatkan negara.

“Khususnya pengorbanan besar yang dilakukan DAP sebab parti lama telah bertapak dan telah membentuk kerajaan tetapi sanggup berkorban demi negara dan rakyat Malaysia. Ini satu pengorbanan luar biasa.

“Saya bagi pihak KEADILAN amat bersyukur kerana parti-parti Pembangkang telah bersetuju untuk menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat dalam pilihan raya akan datang,” katanya kepada SelangorKini.

Pengerusi PAKATAN, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mengumumkan penggunaan satu logo sahaja bagi semua calon Pakatan Harapan yang bertanding pada PRU-14 pada siri kemuncak Jelajah Pakatan Harapan yang berlangsung di Taman Bukit Dahlia, di sini.

Katanya, ini merupakan antara pelan gantian yang dirangka lebih awal memandangkan pihaknya sudah menjangka pelbagai bentuk halangan bakal dihadapi menjelang PRU-14.

=EZY=


Pengarang :