NASIONAL

KEADILAN lancar kempen media sosial hadapi PRU14

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 4 APR: KEADILAN melancarkan kempen media sosial bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke 14 (PRU) yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Pengarah Pilihanrayanya, Nurul Izzah Anwar berkata, kempen itu bagi membolehkan pengundi mendapat berita dengan lebih cepat dan tepat.

“KEADILAN percaya media sosial adalah medium paling pantas sampai kepada pengundi khasnya golongan muda kerana mereka dekat dengan dunia teknologi.

“Seperti yang sedia maklum, KEADILAN pernah mencetuskan revolusi pada 2008 hanya melalui media sosial, jadi kami yakin melaluinya kita sekali lagi dapat memenangi hati rakyat,” katanya.

Beliau berkata ketika Peluncuran Kempen Media Sosial KEADILAN dan Pakatan di Ibu Pejabat KEADILAN, Petaling Jaya.

Hadir sama Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua, Ketua Penerangan KEADILAN, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengarah Strategi KEADILAN, Sim Tze Tzin.

Antara kempen media sosial yang dilancarkan ialah aplikasi Demi Rakyat yang dimuatnaik melalui ‘Play Store’.

Menjelaskan lebih lanjut, Tian Chua berkata, aplikasi itu akan mengemaskini berita terbaru daripada KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH).

“KEADILAN juga mahu memerangi berita palsu yang tersebar luas di media sosial terutama sepanjang kempen PRU akan datang.

“Antara media rasmi yang boleh didapati di dalam aplikasi ‘Demi Rakyat’ ialah SelangorKini, Suara KEADILAN dan Bersatu,” katanya.

=EZY=


Pengarang :